Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang dahulunya disebut Falsafah Pendidikan Negara (FPN), merupakan dasar pendidikan yang telah dilaksanakan di negara Malaysia. Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, setiap aktiviti pendidikan diadakan bagi mencapai intipati utama dalam FPK iaitu melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Falsafah ini digubal pada 1988 oleh pakar-pakar pendidikan.
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Sistem pendidikan di Malaysia mempunyai satu dasar yang sentiasa menjadi rujukan utama Kementerian Pendidikan Malaysia dalam merancang dan menggubal pelan pendidikan di negara ini. Dasar tersebut dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang mempunyai matlamat dan objektif yang tersendiri. Falsafah Pendidikan Kebangsaan berhasrat untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Usaha berterusan ke arah meningkatkan potensi individu yang seimbang dari setiap aspek dapat melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara. Menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, semua rakyat Malaysia diberi peluang untuk mendapat pendidikan supaya dapat menyediakan tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara.
(227 patah perkataan)
No comments:
Post a Comment