Monday, 2 April 2018


Guru sebagai model insan

Guru didefinisikan sebagai insan yang bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga berperan sebagai model insan kepada anak-anak murid.  Keperibadian dan tingkah laku seseorang guru akan diperhatikan oleh anak murid dan seterusnya diikuti oleh mereka. Oleh itu, seseorang guru perlulah bersahsiah tinggi supaya menjadi contoh yang baik kepada pelajar.

 Antara sahsiah yang boleh ditonjolkan termasuklah berdisiplin, berbudi bahasa, bersopan dan bermoral. Contohnya, seseorang guru harus berpakaian kemas semasa di dalam kelas. Perkara ini memberi imej yang baik dan menjadi teladan anak murid agar mereka sentiasa memastikan pakaian mereka dalam keadaan kemas. Kesannya, penampilan murid yang positif dapat dibentukkan. Di samping itu, seseorang guru harus berpandangan progresif dan saintifik. Seseorang guru mestilah bergerak maju dan berusaha menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi yang semakin maju dalam bidang pendidikan. Tindakan ini dapat menyedarkan anak-anak murid tentang kepentingan penggunaan teknologi dalam pendidikan. Sikap kerajinan yang ditunjukkan oleh guru juga menyedarkan anak-anak murid bahawa mereka perlu bersikap tekun dalam mempelajari sesuatu ilmu dan menguasai sesuatu kemahiran. Seterusnya, guru berperanan untuk mendidik generasi muda yang dapat menyumbangkan diri kepada pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan. Seseorang guru perlulah berusaha menghayati aspirasi negara yang dihasratkan. Perkara ini boleh dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar dan semangat patriotik dapat dipupuk dalam kalangan pelajar. Apabila berkomunikasi dengan orang lain, guru harus bersopan santun dan tidak menggunakan kata kasar. 

Selain mengajar dan mendidik murid, guru juga patut melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Misalnya, seseorang guru boleh menghadiri aktiviti kokurikulum, Hari Sukan, Hari Kokurikulum, dan Program Satu Murid Satu Sukan. Penglibatan guru dalam aktiviti sukan menjadi teladan baik kepada murid agar mereka aktif dalam kokurikulum.  Murid juga akan mementingkan sukan selain menggutamakan pelajaran kerana galakan guru yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Anak murid juga berpeluang untuk bekerjasama dengan guru dan kawan mereka semasa melakukan aktiviti sukan dan kokurikulum. Impaknya, insan yang berkembang dengan seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani, sosial dan emosi boleh diwujudkan. Dari segi agama, guru perlu menghayati dan mematuhi ajaran agama. Guru juga boleh menggalakkan murid melibatkan diri dalam aktiviti atau perayaan yang berkaitan dengan agama. Guru yang berpegang teguh kepada agama dapat menjadi teladan yang baik kepada anak-anak murid. Jati diri murid dapat dikukuhkan apabila mereka mempunyai kepercayaan kepada Tuhan.

Sumber
Dr. Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Miskon. (2016). Pengantar Pengajian Profesional. Petaling Jaya, Selangor. Sasbadi Sdn. Bhd.

Disediakan oleh 
Tdene How Jiatyenn 
(366 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment