Sunday, 1 April 2018

Falsafah Pendidikan Islam


Falsafah Pendidikan Islam
Dari segi falsafah, pendidikan Islam merupakan satu proses penyampaian ilmu yang berterusan sehingga ilmu itu dapat dijiwai dan meresap dalam pemikiran, kelakuan dan tindakan terhadap diri sendiri, sesama manusia dan alam sekeliling, sesuai dengan peranan manusia sebagai hamba Allah, khalifah-Nya dan ulamak pewaris nabi. 
Falsafah pendidikan Islam bermaksud satu usaha yang berterusan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan, membentuk kemahiran dan memupuk penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah sepanjang hayat. Falsafah pendidikan Islam juga menekankan pendidikan seumur hidup, pembangunan roh, akal dan jasad disamping menyampaikan dua fungsi iaitu sebagai hamba Allah dan juga sebagai khalifah Allah, memakmurkan alam, berasaskan kesepaduan dan kesempurnaan iman, ilmu dan amal salih bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Matlamat Pendidikan Islam untuk mewujudkan perkembangan seimbang dalam diri individu dengan nilai keislaman, menghasilkan individu beriman, berakhlak tinggi dan beramal salih. Jika diteliti dengan lebih mendalam, Falsafah Pendidikan Islam bermatlamatkan melahirkan insan yang berilmu, berkeperibadian mulia, berkemahiran dan bersikap positif untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar, dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.
Oleh kerana Islam diterjemahkan sebagai ad-din maka secara langsung ia mencakupi keseluruham ruang lingkup kehidupan manusia baik di dunia mahupun di akhirat sesuai dan sejajar dengan maksud falsafah pendidikan Islam itu sendiri. Kandungan dari setiap frasa dan maksud falsafah pendidikan Islam itu tiada tandingannya dengan mana-mana falsafah pendidikan yang ada di dunia ini.
Secara umumnya, kandungan Dasar Pendidikan Islam ialah untuk melahirkan insan soleh yang kamil, beriman, berilmu, beramal, berakhlak. Pendidikan Islam dari segi falsafahnya bukan sahaja sekadar untuk memperlihatkan kesempurnaan Islam sebagai satu sistem hidup yang syumul tetapi juga untuk menzahirkan amalan hidup yang sebenar sebagai seorang muslim yang ada penghayatan sepenuhnya sebagai hamba Allah di muka bumi ini.
Berdasarkan falsafah pendidikan Islam di atas, satu aspek penting yang diberi penekanan ialah menyediakan potensi manusia untuk memikul tugas sebagai hamba Allah, khalifah-Nya dan ulamak pewaris nabi.
Falsafah pendidikan negara ini adalah satu usaha berterusan ke arah perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bertujuan melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan dan berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian masyarakat dan negara.
Kesimpulanya, Falsafah Pendidikan Islam ialah falsafah yang bersumberkan falsafah hidup Islam kerana menggunakan prinsip Islam dalam pendidikan. Pendidikan Islam juga menegaskan bahawa menusia adalah makhluk ciptaan Tuhan dan manusia mempunyai peraturan dalam hidupnya. Oleh itu, pendidikan ini merupakan satu falsafah yang bercorak keagamaan yang menanamkan keimanan manusia kepada Allah dalam usaha membentuk manusia sebagai khalifah di muka bumi ini yang bersikap tunduk dan patuh pada Rabbnya.


SUMBER: https://pengajianislam.pressbooks.com/chapter/falsafah-pendidikan-islam/
Disediakan oleh: Pok Hui Chee



No comments:

Post a Comment